fb fb fb fb fb

Bazar Rahmah ketika Ramadan, KPDN bincang dengan agensi berkaitan

KUALA TERENGGANU, 1 Mac- Bazar Rahmah bakal diwujudkan di beberapa negeri Ramadan nanti.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjelaskan, ketika ini proses perbincangan bersama beberapa agensi sedang dijalankan dan beberapa lokasi sudah dikenal pasti.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perbincangan tersebut merangkumi penurunan kadar sewa tapak bazar Ramadan yang secara tidak langsung mempengaruhi harga makanan ditawarkan.

"Pada masa ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) antara yang terawal menawarkan tapak Bazar Ramadan Rahmah.

“Ada perancangan nak buat Bazar Ramadan Rahmah pada bulan Ramadan ini dengan harga sewa tapak premis dapat dikurangkan.

“Peniaga di bazar tersebut juga dapat menurunkan harga jualan makanan,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Program Jualan Rahmah peringkat negeri Terengganu di Sabasun HyperRuncit, di Kuala Terengganu.


(Datuk Seri Salahuddin pada Program Jualan Rahmah peringkat negeri Terengganu di Sabasun
HyperRuncit, di Kuala Terengganu)

Selain itu, Salahuddin turut memberitahu, KPDN akan mengadakan pertemuan dengan tiga kementerian lain untuk menjayakan Bazar Ramadan Rahmah itu.

Katanya, tiga kementerian lain itu adalah Kementerian Komunikasi dan Digital dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Setakat ini, sebanyak 11 syarikat pasar raya dan pasar raya besar menyertai kempen Jualan Rahmah yang menawarkan harga barangan keperluan antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Media Baharu