KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM947,651.54 di Terengganu bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.
Pengarah Kastam Terengganu, Mohd Nadzri Ariffin berkata, rampasan itu melibatkan 10 kes dengan nilai cukai lebih RM2.7 juta.
"Rampasan terbaharu melibatkan rokok bernilai RM231,000 dengan anggaran nilai cukai sebanyak RM1.69 juta.
"Selain rokok seludup, rampasan tahun ini termasuk kenderaan, bunga api dan kain sarong batik import.
"Kain sarong batik itu tertakluk kepada larangan import yang memerlukan kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nadzri mendedahkan lima kenderaan turut dirampas bernilai RM596,444 dengan nilai cukai RM929,909, mercun pula sebanyak 985.18 Kilogram bernilai RM19,710 dengan nilai cukai RM46,738 manakala kain batik sebanyak 274 unit bernilai RM7,398 dengan nilai cukai RM1,553.
Terbaharu, Kastam Terengganu turut merampas 2,100,000 batang rokok seludup dekat Kuala Dungun pada akhir April lalu.
Pihaknya menahan sebuah lori mencurigakan sebelum mengejar dan menahan lori di laluan utama di Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) pada pukul 12.30 tengah hari.
"Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah kotak rokok berbalut plastik hitam disyaki barang larangan import.
"Siasatan mendapati modus operandi sindiket adalah membawa masuk rokok melalui jalan laut sebelum dipindahkan ke dalam lori untuk edaran pasaran di Pantai Timur dan Lembah Klang.
“Kami tidak menolak kemungkinan sindiket ini masih baru aktif dan pemeriksaan lanjut terhadap pemandu lori iaitu lelaki tempatan berusia 20-an itu juga tiada rekod jenayah lampau," katanya.
Suspek kemudian ditahan dan sudah dihadapkan ke mahkamah bagi proses pendakwaan di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.