PONTIAN, 12 Mei- Seorang lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah kedai tiga tingkat di Jalan Mutiara 1, Taman Mutiara, di sini, hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Johor memaklumkan menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 12.29 tengah hari tadi.
Seramai 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian dan BBP Pontian Baru bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mahadir Mamat berkata, kebakaran itu berlaku di tingkat dua bangunan yang diubahsuai menjadi bilik sewa.
Difahamkan, terdapat kira-kira enam buah bilik di tingkat berkenaan yang musnah terbakar sebanyak 60 peratus.
Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 2.16 petang dan operasi ditamatkan pada pukul 5.00 petang.
Mayat mangsa yang ditemukan dalam sebuah bilik berhampiran dengan dapur diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat.