fb fb fb fb fb

UPM buka pejabat satelit di Jepun

Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah (dua dari kiri) selepas perasmian Pejabat Satelit UPM di Kyushu Institute of Technology, di Jepun / Foto UPM

FUKUOKA, 12 Mei – Universiti Putra Malaysia (UPM) melebarkan sayapnya dengan penubuhan Pusat Satelit Super UPM-Kyutech (JSSC) di Kampus Wakatmatsu Kyutech, Jepun.

UPM menerusi kenyataan memaklumkan, ia merupakan pejabat satelit UPM di luar negara yang pertama dan menjadi simbol ikatan dua negara bersama Kyushu Institute of Technology, Jepun (Kyutech) dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.

"Sebelum ini, Kyutech turut membuka kampus satelitnya iaitu Malaysia Super Satellite Campus (MSSC) di UPM yang menjadi simbol persahabatan dan kebersamaan Malaysia dan Jepun.

"Sejak penubuhan MSSC di UPM, ia telah menjadi pemangkin untuk meningkatkan usaha pengantarabangsaan kedua institusi termasuklah memupuk program mobiliti pelajar dan pegawai, penganjuran seminar bersama, pembiayaan inisiatif penyelidikan serta penawaran program akademik secara berkembar," menurut kenyataan itu.

Kenyataan turut memaklumkan, pembukaan rasmi JSSC memperkuatkan usaha UPM untuk mempromosikan perkongsian strategik, pertukaran budaya, dan kerjasama akademik.

“Pemilihan Kyutech bertepatan dengan hasrat UPM untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dengan Jepun bagi melahirkan generasi pelajar, pensyarah dan pentadbir UPM yang berdaya saing dalam bidang yang diceburi dan mampu menyumbang kepada kemajuan negara masing-masing,” kata kenyataan tersebut.

JSSC dirasmikan Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan Presiden Kyutech, Profesor Dr. Yasunori Mitani, disaksikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Profesor Dr. Ismi Arif Ismail, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Profesor Dr. Arifin Abdu dan Naib Presiden Hal Ehwal Antarabangsa Kyutech, Profesor Dr. Tohru Kamiya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN