KUALA LUMPUR, 26 Oktober -Pemimpin Komuniti Asia Sifar Pelepasan (AZEC) menekankan kepentingan mempercepatkan pembangunan Grid Kuasa ASEAN sebagai usaha bersama bagi mencapai matlamat pelepasan sifar bersih serantau.
- Percepat pembangunan Grid Kuasa ASEAN sebagai usaha bersama mencapai pelepasan sifar bersih serantau.
- Setiap negara digesa menyumbang kepakaran teknikal dan komitmen kewangan penuh untuk projek grid dan peralihan tenaga.
- Malaysia memperkukuh tadbir urus iklim, termasuk Akta CCUS 2025 untuk pengurusan karbon dan ekonomi rendah karbon.
- Sokongan pembiayaan berterusan bagi teknologi rendah karbon (hidrogen, CCUS, biofuel) dan penyelarasan serantau diperlukan.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke arah itu, semua negara anggota digesa untuk memberikan kepakaran teknikal dan komitmen kewangan penuh bagi tujuan tersebut.
Beliau berkata, Malaysia sebagai contoh telah mengambil langkah memperkukuh tadbir urus iklim dan menyokong pelaksanaan peralihan tenaga tersebut.
Ini merangkumi Akta CCUS 2025 yang menyediakan asas perundangan bagi pengurusan karbon berskala besar dan ekonomi rendah karbon.
“Inisiatif ini menandakan peralihan yang jelas daripada aspirasi kepada pelaksanaan dan seterusnya menyokong pelaburan dalam teknologi rendah karbon. Kami mengalu-alukan pembiayaan berterusan bagi pelaburan dalam teknologi rendah karbon seperti hidrogen, CCUS, dan biofuel,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) Ketiga, di sini.
Usaha mencapai karbon neutral perlu dilaksanakan secara inklusif dan berasaskan teknologi dengan penyelarasan serantau sebagai elemen penting.
Beliau menutup ucapannya dengan menyeru negara anggota untuk membawa pulang komitmen yang lebih kukuh dan berterusan bagi memastikan hala tuju yang dipersetujui diterjemahkan kepada tindakan.