fb fb fb fb fb

Pelepasan sisa jadi punca pencemaran Sungai Padang Terap - JAS

Pelepasan sisa dari sebuah fasiliti di Alor Setar, Kedah, dikenal pasti menjadi punca Sungai Padang Terap di Kepala Batas tercemar

ALOR SETAR, 12 Mei - Pelepasan sisa dari sebuah fasiliti di Alor Setar, Kedah, dikenal pasti menjadi punca Sungai Padang Terap di Kepala Batas tercemar.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata bertindak atas aduan mengenai pencemaran sungai itu dengan bahan berwarna merah dan berbau busuk, pihaknya telah melakukan siasatan di lokasi kejadian bagi mengenal pasti punca pencemaran.

"Hasil siasatan mendapati, pencemaran berpunca daripada pelepasan dari longkang sebuah fasiliti yang terdapat di kawasan itu.

"Sampel bahan telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa dan JAS Kedah telah mengarahkan pihak fasiliti terbabit untuk menjalankan pembersihan longkang dan sungai dan pihak fasiliti bersetuju untuk menjalankan pembersihan berkenaan," katanya menerusi kenyataan.
 
Tambah Sharifah Zakiah, pihak fasiliti juga akan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan akan mengemukakan laporan kepada jabatan.

JAS Kedah turut mengarahkan sisa pembersihan disimpan sementara waktu untuk menentukan jenis bahan yang dilepaskan.
 
Sekiranya bahan tersebut termasuk dalam kategori Buangan Terjadual, pihak fasiliti akan diarah untuk melupuskannya di premis-premis yang dilesenkan oleh JAS.
 
"Orang ramai dinasihatkan tidak menghampiri atau melakukan sebarang kegiatan di kawasan tersebut buat sementara waktu," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN