fb fb fb fb fb

Kerja baik pulih sistem MRT Putrajaya giat dijalankan

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Kerja baik pulih sistem semboyan Transit Aliran Massa (MRT) di laluan Putrajaya masih giat dijalankan susulan gangguan yang berlaku sejak semalam.

Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan, hasil siasatan pasukan teknikal Rapid Rail di lokasi pada malam tadi mendapati lebih banyak kabel gentian optik yang dipotong, dipercayai akibat aktiviti kecurian.

"Hasil siasatan pasukan teknikal di lokasi mendapati terdapat beberapa kabel gentian optik yang dipotong, dipercayai akibat kecurian. Kejadian ini memerlukan proses pembaikan menyeluruh bagi memastikan operasi kembali stabil dan selamat." menurut kenyataan itu.

Berikutan itu, tren dari Stesen Kwasa Damansara ke Stesen Putrajaya Sentral kini dipandu secara manual, menyebabkan pergerakan lebih perlahan dengan kekerapan tren dijangka setiap 20–30 minit.

"Bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan, perkhidmatan bas perantara percuma disediakan dari Stesen Kwasa Damansara ke Stesen Putrajaya Sentral setiap 15–20 minit, bergantung kepada keadaan trafik semasa." tambah kenyataan itu.

Penumpang dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan merujuk media sosial Rapid KL serta aplikasi PULSE bagi mendapatkan maklumat terkini. Petugas stesen dan polis bantuan berada di setiap stesen untuk memberikan pertolongan.

Rapid Rail memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan menghargai kesabaran serta kerjasama semua pengguna sepanjang tempoh gangguan ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD