fb fb fb fb fb

Kastam Sarawak rampas dadah bernilai lebih, RM1.9 juta, dua lelaki ditahan

Norizan Yahya (tengah) pada sidang media mengenai rampasan dadah di Kuching

KUCHING, 10 Julai- Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak berjaya merampas 10 kotak mengandungi dadah berbahaya bernilai lebih RM1.9 juta di Kuching.

Pengarah JKDM Sarawak, Norizan Yahya berkata pasukan Bahagian Penguatkuasaan Cawangan Narkotik Sarawak turut menahan dua lelaki tempatan berumur lingkungan 20-an pada 4 Julai lalu.

Kedua-dua suspek ditahan di perkarangan sebuah syarikat kargo yang didapati mempunyai 10 kotak bersaiz besar yang disimpan di dalam lori 'bonded'.

Pemeriksaan awal membawa kepada penemuan 60 paket berlabel “Guan Yi Wang” yang mengandungi ketulan kristal positif dadah jenis Methampetamine seberat 60,670 gram.

Modus operandi sindiket, menggunakan perkhidmatan penghantaran kargo udara antara wilayah iaitu dari Kuala Lumpur ke Kuching dengan membuat pengikraran tidak benar pada borang Kastam No.3.

Sementara itu, barang serta lori yang digunakan disita bawah Seksyen 30 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching bagi mendapatkan perintah reman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Dalam sidang media mengenai rampasan itu, Norizan memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang terlibat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah Norizan, pihaknya turut khuatir Sarawak dijadikan hub sebagai pengedaran bahan terlarang itu, melihat kepada peningkatan kes, baru-baru ini.

Justeru beliau menyeru orang ramai untuk membantu pihak JKDM memerangi jenayah dengan menyalurkan maklumat berkaitan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE