fb fb fb fb fb

3,012 cubaan seludup libatkan cukai lebih RM300 juta digagalkan setakat Mei 2024

Datuk Anis Rizana Mohd Zainuddin berucap pada Majlis Pelancaran Audit Verifikasi Pematuhan (AVIP), di Putrajaya

PUTRAJAYA, 10 Julai- Dalam tempoh lima bulan iaitu Januari hingga Mei lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya membanteras sebanyak 3,012 cubaan penyeludupan melibatkan pelbagai barangan.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainuddin berkata, ia termasuk kes penyeludupan dadah, rokok, minuman keras dan lain-lain komoditi membabitkan nilai cukai RM303.9 juta.

“Sejak akhir-akhir ini, banyak isu terpalit dengan Kastam, namun ia tidak patahkan semangat dan jati diri Kastam dalam melaksana tanggungjawab sedia ada,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Audit Verifikasi Pematuhan (AVIP), di Putrajaya hari ini.

Anis Rizana berkata JKDM selaku barisan pertahanan sempadan negara, telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan tidak berlakunya ketirisan hasil negara antaranya pengenalan transaksi dalam talian dan pengemaskinian maklumat berkaitan dasar percukaian bagi memudahkan entiti perniagaan dan orang awam mendapatkan maklumat terkini.

“Kedua, memodenkan prosedur pelepasan kastam dengan menggunakan teknologi dan inovasi seperti mesin pengimbas yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan untuk menyelaraskan beberapa perkara,” katanya.

Mengenai AVIP, beliau berkata ia merupakan strategi audit baharu JKDM bagi tempoh 2024-2026 yang memberi tumpuan untuk mendapatkan sebanyak mungkin entiti perniagaan khususnya yang telah berdaftar atau berlesen dengan JKDM berdasarkan penarafan risiko.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE