fb fb fb fb fb

Sidang Kemuncak ASEAN 2025, penganjuran tidak tertumpu di ibu negara

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 10 Julai - Mesyuarat Sidang Kemuncak ASEAN 2025 bakal diadakan di seluruh negara dan tidak terhad di Kuala Lumpur, ketika Malaysia mempengerusikannya.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pelbagai mesyuarat berkaitan blok serantau akan dilaksanakan.

"Sebanyak 257 mesyuarat peringkat tertinggi pemimpin negara, peringkat menteri dan juga peringkat pegawai-pegawai akan diadakan pada tahun 2025.

"Memandangkan banyak mesyuarat akan diadakan pada tahun depan, ini telah diurus, kita ada satu jawatankuasa sekretariat dipanggil sebagai Sekretariat Induk Logistik ASEAN 2025 (SILA) yang terus memantau dan akan menguruskan dari segi logistik dan substantif," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, di sini.

Beberapa kawasan telah dikenal pasti antaranya di Kota Kinabalu, Kuching, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Langkawi.

Tambah Mohamad, empat bidang keutamaan berpaksikan kepentingan rakyat akan diketengahkan pada persidangan itu.

Ini termasuk keamanan, kestabilan, keselamatan dan kemakmuran serantau;integrasi ekonomi serantau dan pengukuhan peranan institusi ASEAN.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN