fb fb fb fb fb

Kastam Perak patahkan cubaan seludup daging anak khinzir sejuk beku bernilai lebih RM1.4 juta

Datuk Abdul Ghafar Mohamad menunjukkan barangan yang dirampas pada satu sidang media di Ipoh hari ini

IPOH, 14 Mei- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak mematahkan cubaan menyeludup 9,634 bungkusan daging anak khinzir sejuk beku dianggarkan bernilai lebih RM 1.4 juta.

Pemeriksaan dilakukan pasukan daripada Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Ipoh terhadap sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor pada 7 Mei lalu.

Pengarah Kastam Negeri, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, kontena tersebut pada awalnya diikrarkan sebagai sayur campuran sejuk beku (frozen mixed vegetables) pada Borang Kastam 1.

"Daging anak khinzir sejuk beku seberat 23,121 kilogram yang disimpan di dalam kontena tersebut tidak sama seperti yang diikrarkan di dalam Borang Kastam 1.

"Kontena berkenaan telah diimport dari negara Vietnam untuk dijual di pasaran tempatan,"katanya.

Hasil pemeriksaan penguat kuasa mendapati kotak berisi daging tersebut tidak memiliki pelekat yang sah daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Pihak pengimport juga tidak mempunyai permit yang sah daripada Jabatan Veterinar dan MAQIS untuk mengimport masuk komoditi sejuk beku itu ke Malaysia.

Ia tertakluk pada Butiran 1(1) Jadual Ketiga Bahagian 1 Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 yang memerlukan kelulusan kedua-dua agensi tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 133 Akta Kastam 1967 iaitu membuat pengikraran yang salah dan memalsukan dokumen.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE