fb fb fb fb fb

Bidang STEM, peratus kemasukan pelajar di Johor meningkat

Foto Pejabat Exco Johor

ISKANDAR PUTERI, 14 Mei- Peratus kemasukan pelajar tingkatan 4 dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Johor meningkat kepada 50.24 peratus, sehingga Mac lalu.

Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata trend tersebut mula menunjukkan peningkatan pada tahun lalu iaitu 45.73 peratus berbanding 40.94 peratus pada tahun 2022.

Jelasnya, pencapaian itu membuktikan program berkaitan pendidikan STEM yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan kerajaan negeri mendapat hasil positif serta menggalakkan. 

"JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) Johor dan KPM akan terus meningkatkan keberkesanan program pendidikan STEM.

"Ia sebagai usaha menyediakan bakat STEM yang mencukupi ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi.

"Ia juga selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 hingga 2030, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030)," katanya ketika menjawab soalan lisan semasa persidangan Ketiga DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini.

Pihaknya menjangkakan pelaksanaan STEM sehingga 60 peratus di Johor akan tercapai menjelang tahun 2028.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM