fb fb fb fb fb

KASA tingkat daya tahan, kesedaran negara hadapi impak perubahan iklim

KUALA LUMPUR, 18 Julai- Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan mengarusperdanakan adaptasi perubahan iklim dalam pengurusan banjir.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata keperluan itu bagi meningkatkan daya tahan dan kesediaan negara menghadapi impak perubahan iklim.

Ia turut mengambil kira integrasi pengurusan risiko bencana melalui mitigasi jangka pendek dan panjang pengurusan banjir melibatkan pendekatan secara struktur dan bukan struktur.

Antara yang diberi perhatian termasuk kerja-kerja mendalam, menaik taraf dan membaik pulih sistem pengurusan banjir di seluruh negara melalui pendekatan Pengurusan Banjir Secara Bersepadu.


(Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man)

"Pengurusan Banjir Secara Bersepadu ini akan mengimbangi kaedah struktur dan bukan struktur secara optimum dalam melindungi dan mengurangkan risiko banjir sesuatu kawasan", katanya.

"Kaedah struktur yang digunakan termasuk peningkatan kapasiti longkang utama dan sungai, pembinaan empangan/ takungan air pinggiran sungai (TAPS), pembinaan struktur sabo, kolam takungan, lencongan sungai, pembinaan benteng banjir (flood wall) dan sistem pam.

Kaedah bukan struktur yang turut dilaksana termasuk pengurusan dataran banjir, perancangan guna tanah, kawalan dan pematuhan pembangunan, sistem ramalan dan amaran banjir, peta banjir, dan pelaksanaan program kesedaran.

Beliau menjawab pertanyaan wakil Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman pada sesi Dewan Rakyat.

Media Baharu