fb fb fb fb fb

KASA tawar ganjaran kepada pemberi maklumat aktiviti pencemaran air

BANGI, 10 JUN- Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menawarkan ganjaran kepada individu yang tampil memberikan maklumat berhubung aktiviti pencemaran air.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Dr Zaini Ujang menyatakan individu tersebut tidak perlu takut kerana identiti mereka akan dirahsiakan kerajaan.

"Kalaulah ada diantara mereka yang diarahkan oleh pihak majikan untuk mencemarkan alam sekitar, yang paling mudah sekali membuang sesuatu dalam air, atau dalam sistem pembentungan sama ada dalam longkang atau dalam sungai, mestilah membuat aduan."

"Kita akan memberi ganjaran sebagaimana ada dalam peruntukan akta kualiti alam sekeliling. Ada ganjaran yang boleh kita berikan. Jadi jangan takut kita akan melindungi mereka yang memberikan maklumat tersebut dan pada masa yang sama kita akan ambil tindakan bersama supaya bekalan air kita ada untuk keperluan asasi kita dibekalkan dengan selamat kepada semua."

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan tinjauan ke lokasi stesen cerapan kualiti air di Bangi.

Tambahnya, masyarakat perlu cakna dan membantu kerajaan dalam membanteras aktiviti pencemaran air yang berlaku dalam negara.

Terdahulu Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan terdapat insiden pencemaran bau seakan diesel sehingga tiga ton dikesan di Stesen Pemantau Sungai Seksyen 3, Bangi sehingga menyebabkan tiga loji rawatan air (LRA) dihentikan operasi.


(Datuk Seri Dr Zaini Ujang membuat tinjauan ke lokasi stesen cerapan kualiti air di Bangi)

Media Baharu