KUALA LUMPUR, 9 Ogos - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjadi agensi pertama yang menghulurkan bantuan kepada keluarga Zara Qairina Mahathir.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya turut menawarkan perkhidmatan sokongan yang diperlukan keluarga berdepan situasi berkenaan.
"Saya ucapkan takziah kepada ibu bapa, sebab kita sebagai ibu bapa memang turut merasai kesedihan itu, sebagai orang yang mempunyai anak. Apatah lagi kalau berlaku seperti itu.
"Namun, kita belum tahu lagi apa keputusannya sebab kita serahkan kepada Jabatan Peguam Negara serta PDRM (Polis Diraja Malaysia)," katanya selepas menyantuni mangsa kebakaran di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama Al-Khawarizmi, Pantai Dalam di sini hari ini.
Kementeriannya akan terus melaksanakan Program Advokasi Kanak-Kanak yang memberi penerangan mengenai hak kanak-kanak serta usaha membanteras buli di sekolah dan rumah.
“Kami tidak jemu memberi penerangan kepada masyarakat, terutama kanak-kanak. Tahun ini kita menyasarkan 300 sekolah dan 30 pusat aktiviti kanak-kanak sebagai lokasi program, dengan penglibatan pihak polis,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan ibu bapa mendengar aduan anak-anak serta mengambil tindakan, selain mengingatkan masyarakat mengenai talian 15999 sebagai saluran rasmi aduan penderaan atau buli.
“Kita tidak mahu buli menjadi normalisasi dalam masyarakat. Semua pihak perlu memainkan peranan untuk melindungi mangsa dan mencegah kejadian ini berulang,” katanya lagi.