fb fb fb fb fb

Fadlun, dilantik Pengerusi PPj yang baharu

 

PUTRAJAYA, 10 Jun- Datuk Fadlun Mak Ujud dilantik sebagai Presiden merangkap Pengerusi Perbadanan Putrajaya (PPj) yang baharu, bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Jun, umum Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Fadlun, 55 tahun, yang sebelum ini merupakan Naib Presiden Kanan (Perkhidmatan Korporat) PPj menggantikan Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, bermula 15 Disember tahun lepas (2021).

Pelantikan Fadlun sebagai Presiden merangkap Pengerusi PPj yang ke-7 itu adalah selaras dengan perenggan 5(1)(a) Akta Perbadanan Putrajaya 1995 [Akta 536], katanya menerusi satu kenyataan.

Shahidan berkata dengan pengalaman 22 tahun di PPj, memberi kelebihan kepada Fadlun untuk mengemudi PPj atas kapasiti pengetahuan dan kemahirannya yang luas, selain pengalaman yang mendalam berkaitan pengurusan bandar raya serta dasar perancangan di Putrajaya.

“Saya percaya dengan pengalaman serta daya kepimpinan dan kredibiliti yang dimilikinya, beliau berupaya memperkasakan lagi tadbir urus dan menerajui Perbadanan Putrajaya, untuk terus cemerlang ke arah mencapai Putrajaya Bandaraya Pentadbiran Mampan Bertaraf Dunia,” katanya.

Shahidan turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan, kecemerlangan serta khidmat bakti  Muhammad Azmi sepanjang berkhidmat sebagai Presiden merangkap Pengerusi PPj dari 1 Okt 2020 hingga 15 Dis 2021.

 


(Pengerusi Perbadanan Putrajaya (PPj) baharu, Datuk Fadlun Mak Ujud)

Media Baharu