fb fb fb fb fb

MOTAC laksana 35 operasi penguatkuasaan bersepadu, 24 notis dikeluarkan

MOTAC laksana operasi penguatkuasaan bersepadu / Foto Hiasan / Bernama

PUTRAJAYA, 9 Ogos - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memaklumkan sebanyak 35 operasi penguatkuasaan bersepadu dilaksanakan di seluruh negara bermula 14 Julai hingga 3 Ogos lepas.

Operasi tersebut bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dan Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999 (Akta 594).

Menurut MOTAC dalam kenyataan hari ini, operasi itu dijalankan dengan kerjasama strategik bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang.

Sepanjang tempoh berkenaan, pemeriksaan dilakukan terhadap 220 kenderaan pelancongan, 200 syarikat pelancongan, empat premis penginapan pelancongan dan 67 pemandu pelancong.

“Hasil pemeriksaan, sebanyak 24 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk lima notis kerana menjalankan perniagaan pelancongan tanpa lesen sah dan tujuh notis kerana menggunakan kenderaan yang tidak dilesenkan untuk membawa pelancong,” jelas kenyataan tersebut.

MOTAC memaklumkan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang termasuk pendakwaan, kompaun, penggantungan atau pembatalan lesen.

Dalam masa sama MOTAC turut mengingatkan semua syarikat pelancongan berlesen supaya bekerjasama dengan entiti pelancongan berlesen sah dan menggunakan kenderaan pelancongan yang dilesenkan sepenuhnya oleh pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan pelancong.

“Bagi syarikat yang masih menjalankan aktiviti pelancongan tanpa lesen, mereka perlu segera mendapatkan lesen sah bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan,” menurut kenyataan itu.

MOTAC memberitahu pihaknya kekal komited melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara menyeluruh melalui kerjasama rentas agensi selaras dengan prinsip tadbir urus baik, keadilan dan keyakinan di bawah kerangka Malaysia MADANI, sekali gus menyokong misi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026). -BERNAMA

ZAZALI JAMIAN