SHAH ALAM, 28 Mac- Karnival Raya Vibes 2025 buat julung kalinya diadakan selama 72 jam tanpa henti, bermula malam tadi hingga Sabtu ini, di parkir Stadium Shah Alam.
Program jualan meriah raya itu menampilkan lebih 100 peniaga, menawarkan pelbagai kelengkapan menjelang Hari Raya Aidilfitri pada harga berpatutan.
Menurut Exco Kemajuan Desa Selangor, Datuk Rizam Ismail, inisiatif tersebut bukan sekadar acara perayaan, tetapi satu usaha kerajaan negeri memperkukuhkan ekonomi rakyat melalui sokongan terhadap peniaga dan usahawan tempatan.
“Musim perayaan memberi impak besar kepada sektor ekonomi, khususnya perniagaan kecil dan sederhana. Oleh itu, kerajaan negeri komited menjadikan Raya Vibes sebagai acara tahunan yang bukan sahaja menghidupkan suasana Syawal, tetapi turut memberi manfaat ekonomi kepada rakyat Selangor,” katanya.
Turut memeriahkan karnival berkenaan adalah persembahan selebriti seperti Azan Scan, Elyana, Achey dan Fad Bocey, selain cabutan bertuah yang ditawarkan setiap hari.