ALOR SETAR, 28 Mac - Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin menasihatkan pengguna jalan raya khususnya di Kedah agar sentiasa berhati-hati ketika pulang bercuti bagi menyambut hari raya Aidilfitri.
Baginda turut menasihatkan perantau untuk mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan yang jauh, di samping memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan selamat sebelum memulakan perjalanan.
"Mesti pastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memandu, pastikan cukup rehat dan apabila memandu pandu berhemah ikut peraturan, jangan nak cepat sampai kita tak ikut aturan jalan raya. Semoga semua sampai ke destinasi masing masing," titah baginda pada Majlis Iftar di Dataran Medan Bandar, di sini.
Berangkat sama pada majlis itu ialah Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Zaheeda Mohd Ariff dan anakanda baginda, Tunku Sulaiman Badlishah Ibni Tengku Sarafudin Badlishah.
Baginda berdua perkenan mengedarkan pek makanan kepada orang ramai sebagai juadah berbuka puasa.