SERDANG, 28 Mac- Aktiviti konvoi motosikal ketika musim perayaan boleh mengundang bahaya bukan sahaja kepada penunggang, malah pengguna jalan raya lain.
Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah menegaskan, konvoi yang bergerak dalam kumpulan besar boleh mengganggu kelancaran lalu lintas serta meningkatkan risiko kemalangan.
"Konvoi motosikal ini tidak selamat kerana ia mengambil ruang yang besar dan boleh mengganggu pergerakan kenderaan lain. Penunggang yang bergerak secara beramai-ramai sering kali tidak menggunakan pertimbangan yang selamat dan cenderung menunggang secara melulu," katanya.
Menurut beliau, penunggang motosikal digalakkan bergerak secara berasingan mengikut kemampuan masing-masing dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.
Beliau turut menegaskan bahawa penunggang motosikal merupakan golongan paling berisiko di jalan raya kerana ketiadaan perlindungan fizikal berbanding pemandu kenderaan lain.
Tambahnya, tindakan ‘mencilok’ atau menyelit di antara kenderaan lain mungkin dilihat sebagai kelebihan, tetapi hakikatnya ia sangat berbahaya, terutamanya apabila berada dalam ‘titik buta’ kenderaan besar seperti lori dan bas.
Justeru, beliau menasihatkan agar penunggang motosikal mengutamakan keselamatan ketika dalam perjalanan pulang ke kampung bagi mengelakkan tragedi yang boleh meragut nyawa.