SERDANG, 28 Mac - Program Santuni Warisan @ Literasi Kelas Rimba Bateq (KRB) dilaksanakan bagi memperkasa pendidikan asas anak-anak suku Bateq sebagai persediaan ke sekolah aliran perdana serta memperkenalkan pembelajaran dalam suasana budaya, aktiviti seni, dan rekreasi.
Pengarah Program, Wan Nur Camelia Wan Mohd Rozaini berkata, program itu bukan sekadar berkongsi ilmu, tetapi juga memberi peluang kepada sukarelawan untuk memahami budaya masyarakat Bateq dengan lebih dekat.
"Kami saling berkongsi ilmu, kami turut belajar daripada mereka. Pengalaman ini membuktikan bahawa pendidikan dan hubungan antara komuniti boleh terjalin melalui keikhlasan serta rasa hormat," kata Nur Camelia.
Pegawai Pemantau Program, Amir Heiqal Rusli, berkata aktiviti yang dijalankan memberi peluang kepada peserta merasai sendiri kehidupan masyarakat suku Bateq, termasuk berenang, bermain rakit buluh dan meneroka sungai.
"Sungai ini bukan sekadar tempat bermain, tetapi sebahagian daripada kehidupan mereka. Keberanian dan kebolehan mereka luar biasa. Ini pengalaman berharga yang memberi perspektif baharu kepada semua" katanya.
Sementara itu, pelajar tahun tiga Bacelor Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan, UPM, Nur Hidayah Abdul Halim, berkata program berkenaan memberi impak positif apabila pelajar di Kelas A dan B sudah mampu membaca, menulis, dan mengira.
“Hasil usaha KRB jelas apabila ada dalam kalangan mereka yang sudah boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris. Sukarelawan juga menggunakan pendekatan kreatif bagi memastikan pembelajaran lebih menarik dan berkesan,” katanya.
Program Santuni Warisan @ Literasi Kelas Rimba Bateq (KRB) selama tiga hari itu dilaksanakan Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Kolej Sepuluh dengan sokongan Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM).
Ia merupakan satu langkah kecil ke arah perubahan lebih bermakna dalam menyokong pendidikan dan pembangunan komuniti ini, sekali gus mengukuhkan usaha ke arah pendidikan yang lebih inklusif.