KUALA TERENGGANU,12 Julai- Tourism Malaysia bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Terengganu dan pihak berkaitan bagi memperkukuh infrastruktur dan promosi ke arah penganjuran karnival mencandat sotong berskala besar.
Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara, Tourism Malaysia, Datin Rafidah Idris berkata penganjuran karnival julung kali diadakan itu dilihat sebagai produk pelancongan berimpak tinggi.
Ini kerana, ia melambangkan budaya komuniti nelayan yang boleh diketengah ke peringkat global.
Inisiatif itu dibuat memandangkan aktiviti tersebut berpotensi diangkat sebagai ikon pelancongan negara yang mampu menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke Pantai Timur.
"Saya dimaklumkan bahawa purata tempoh penginapan rasmi bagi tahun 2024 ialah 2.45 satu malam.
"Bagaimanapun, berdasarkan data suku kedua 2024, Terengganu mencatatkan purata tempoh penginapan tertinggi, iaitu 2.45 malam, lebih tinggi daripada purata kebangsaan tahun lalu.
"Ini merupakan petunjuk yang sangat positif dan menyokong keyakinan kita bahawa pengalaman mencandat sotong di Terengganu merupakan yang paling popular berbanding destinasi lain yang disebut sebelum ini," katanya.
Terdahulu, beliau menghadiri karnival mencandat sotong sempena Program MADANI Rakyat 2025 Terengganu di sini.
Aktiviti mencandat sotong adalah tradisi masyarakat nelayan Terengganu antara Mei hingga Ogos setiap tahun.