fb fb fb fb fb

10 instrumen pastikan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 berkesan

Teo Nie Ching. Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 12 Julai – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini giat membangunkan 10 instrumen subsidiari bagi memastikan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, instrumen itu merangkumi pelbagai bentuk peraturan dan kod yang kini berada pada tahap pembangunan berbeza, bergantung kepada keperluan dan kesediaan setiap komponen.

Menurut beliau, semua instrumen tersebut akan melalui proses Analisis Impak Peraturan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia serta mendapat kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara sebelum dikuatkuasakan.

“MCMC telah kenal pasti 10 instrumen subsidiari yang merangkumi peraturan dan kod pelaksanaan bagi Akta Keselamatan Dalam Talian 2024.

"Pembangunannya dijangka siap secara berperingkat antara suku keempat 2025 hingga suku kedua 2026,” katanya pada majlis Ulang Tahun The Malaysia Book of Records (MBR) ke-30 di sini, malam tadi. 

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa MCMC memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak melalui penerbitan buku cerita mengenai jenayah seksual ‘grooming’ dalam 10 bahasa.

Buku tersebut bakal diiktiraf sebagai rekod baharu oleh The Malaysia Book of Records (MBR) pada 2 Ogos ini.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN