fb fb fb fb fb

ASEAN terus usaha selesai krisis di Myanmar

Datuk Seri Mohamad Hasan dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Myanmar September ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan ASEAN menyelesaikan krisis negara itu. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Julai - Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Myanmar seawal September ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan ASEAN menyelesaikan krisis kemanusiaan dan politik di negara itu.

Menurut beliau, lawatan ke ibu negara Nay Pyi Taw dijangka membabitkan pertemuan terbuka bersama pihak berkepentingan, termasuk rakan sejawat dan Perdana Menteri Myanmar.

Pertemuan tersebut bagi menyampaikan pendirian Malaysia serta aspirasi ASEAN terhadap penyelesaian damai.

"Saya mungkin akan melawat Nay Pyi Taw sekitar September atau awal Oktober.

"Wakil khas kita telah mengadakan banyak pertemuan dengan pihak berkepentingan dan kita tahu apa permintaan utama mereka,” katanya pada sidang media penutup sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 di sini, malam tadi.

Menurut beliau, pihak terbabit mengemukakan tiga tuntutan yang menjadi keutamaan rakyat Myanmar itu sendiri.

"Kebanyakan mereka mahukan pembebasan tahanan politik, gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan yang tidak disekat," katanya.

Lawatan berkenaan juga satu lagi usaha memperkukuh pelaksanaan Konsensus Lima Perkara ASEAN, yang setakat ini masih berdepan halangan besar khususnya dari segi komitmen pihak junta Myanmar.

Malaysia kekal konsisten dalam menyeru penyelesaian inklusif dan aman demi kestabilan rantau serta kebajikan rakyat Myanmar yang terus terjejas akibat konflik berpanjangan.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN