BATU PAHAT, 18 Februari - Lebih 30 universiti, agensi dan jabatan membuka ruang pameran di Karnival KPT Keluarga Malaysia di Parit Sulung, di sini yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.
Pelbagai penerangan ditawarkan, selain khidmat nasihat penempatan ke universiti, kaunseling dan pembiayaan pengajian tinggi.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, program antara usaha dan komitmen kerajaan memenuhi kehendak serta keperluan rakyat, terutamanya dalam bidang pengajian tinggi.
Pelbagai pengisian dibawa pada karnival itu, menyedari kepentingan untuk merakyatkan universiti.
"Ini termasuklah semakan syarat khas kemasukan ke IPTA dan ILKA, program-program pengajian yang ditawarkan, panduan permohonan serta khidmat bimbingan dan kaunseling pendidikan. Kita ada juga sediakan kaunter khas berkenaan dengan maklumat pembiayaan pengajian oleh Bahagian Biasiswa, KPT dan juga Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata Noraini semasa berucap merasmikan Karnival KPT Keluarga Malaysia di sini.
15 syarikat pelbagai industri juga mengadakan pameran kerjaya MyFutureJobs dengan kerjasama PERKESO, yang menawarkan 3,000 peluang pekerjaan.
Pada majlis sama, KPT turut melancarkan Yayasan Sukarelawan Siswa, YSS untuk meningkatkan semangat sukarelawan dan setiakawan dalam kalangan
pelajar, serta mempromosi keamanan dunia.
YSS sudah berjaya melaksanakan 48 misi dan melahirkan seribu 481 sukarelawan dari negara-negara ASEAN.