fb fb fb fb fb

PM mahu KKMM dan Kementerian Kewangan perlu segera muktamadkan konsep jalur lebar 5G - Annuar Musa

PUTRAJAYA, 18 Februari - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Kementerian Kewangan untuk mengemukakan memorandum Jemaah Menteri bagi memuktamadkan konsep dalam soal melaksana jalur lebar 5G, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Tan Sri Annuar Musa menyatakan.

"Ini telah disiapkan dan semalam kedua-dua kementerian (KKMM dan MOF) telah duduk bersama dan muktamadkan draf memorandum yang akan diedarkan kepada beberapa kementerian yang berkaitan untuk mendapatkan pandangan," katanya yang menyasarkan pembentangan memorandum itu dibuat pada minggu pertama Mac ini.

Annuar berkata Perdana Menteri telah memberi arahan supaya setiap agensi dan kluster membuat pelaporan kepada Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) setiap tiga bulan, termasuk kluster yang dipengerusikannya iaitu Kluster Infrastruktur Digital dan Data.

"Ini bermakna negara kita meletakkan agenda digital ekonomi dan program 4IR (Revolusi Perindustrian Keempat) serta pelaksanaan MyDIGITAL pada keutamaan yang tinggi," kata Annuar dalam Sidang Media Majlis Apresiasi Sukarelawan Program Operasi Bantu Hingga Selesai (Ops Bahis) di sini.

Beliau berkata beberapa kertas cadangan telah dibentangkan pada MED4IRN semalam antaranya berkaitan projek ikonik sebagai dorongan pelaksanaan program ekonomi digital.

 

Media Baharu