fb fb fb fb fb

RM10.27 juta kompaun dikenakan terhadap majikan abai pekerja

KANGAR, 18 Februari - Sebanyak RM10.27 juta nilai kompaun direkodkan membabitkan kesalahan mengabaikan pekerja oleh majikan sejak setahun iaitu antara Februari tahun lalu sehingga 15 Februari tahun ini.

Antara kesalahan dilakukan majikan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 (Akta 446) ialah tiada perakuan penginapan dan masih belum membuat sebarang permohonan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) selain kebersihan serta keselamatan tempat tinggal pekerja.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, kebanyakan kesalahan dilakukan ialah pelanggaran di bawah Seksyen 24D Akta 446 kerana menempatkan pekerja di penginapan tanpa perakuan daripada Ketua Pengarah JTK.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM4.28 juta dikutip melibatkan 1,192 kertas siasatan di bawah Akta 446 berkait pelbagai kesalahan termasuk 135 kes yang telah didakwa di mahkamah melibatkan denda hampir RM1 juta.

Katanya, Kesemua tindakan pematuhan itu dilakukan menerusi 40,597 pemeriksaan ke atas majikan yang telah dilaksanakan di 171,420 buah penginapan di seluruh negara.

“Selain itu, kesalahan lain ialah tidak mematuhi kehendak minimum atau tidak menyediakan kemudahan asas kepada pekerja mengikut Peraturan 3 dan 4 di bawah Peraturan-peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020.

“Hukuman bagi kesemua kesalahan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000,” katanya dalam sidang media selepas mengetuai Operasi Bersepadu Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja yang di jalankan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perlis di Sekitar negeri ini.

Tambahnya, pihaknya turut menerima hampir 14,939 aduan daripada pekerja menerusi aplikasi Working for Workers (WfW) dengan kes gaji tidak dibayar atau lewat dibayar sebanyak 4,661 kes.

Manakala aduan terhadap majikan melakukan pemotongan upah tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan ialah sebanyak 1,394 kes.

Media Baharu