PUTRAJAYA, 18 Februari - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Kementerian Kewangan akan membentangkan Memorandum Jemaah Menteri berhubung isu berkaitan Digital Nasional Berhad (DNB) pada awal bulan depan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkat, isu itu perlu diselesaikan segera bagi memastikan gerak kerja projek pelaksanaan perkhidmatan 5G negara berjalan lancar.
"Sekarang ini tentang kedudukan DNB dan status rangkaian tunggal yang menjadi perdebatan perlu diselesaikan segera.
"Jika dibiarkan berlarutan, isu-isu yang berkaitan dengan polemik itu akan menjejaskan program pelaksanaan 5G yang merupakan faktor utama kepada rangka tindakan digital ataupun Malaysia Digital," kata Annuar dalam sidang media Majlis Apresiasi Sukarelawan Program Operasi Bantu Hingga Selesai (Ops Bahis) di sini.
Terdahulu, Kementerian Kewangan dan DNB digesa tampil memberi penjelasan terperinci kepada Kabinet dan rakyat berhubung pelbagai persoalan berkaitan pelaksanaan teknologi 5G.
Ini termasuk rasional memberi mandat kepada DNB dan Ericsson untuk memonopoli penyediaan perkhidmatan 5G di Malaysia.