fb fb fb fb fb

Konsep Keluarga Malaysia pastikan akses kepada pendidikan tinggi dirasai semua lapisan masyarakat - Perdana Menteri

BATU PAHAT, 18 Februari- Pendidikan merupakan agenda penting bagi mengubah sesuatu keluarga, kaum dan individu, yang dijadikan agenda utama kerajaan sejak dahulu.

Ia perlu menjadi keutamaan, selari dengan nilai Keluarga Malaysia, iaitu menerapkan budaya ilmu dalam masyarakat dan keluarga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelbagai inisiatif dilaksana kerajaan, antaranya biasiswa MARA yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, membolehkan pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara, sekali gus membolehkan masyarakat pelbagai latar belakang memperoleh pekerjaan yang mereka mahukan.

Selain Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia, SULUNG, yang fokus kepada pelajar B40.

"Kerajaan mengetengahkan nilai kebersamaan menerusi konsep Keluarga Malaysia dan dalam konteks pengajian tinggi."

"Nilai ini diterjemahkan menerusi pelbagai bentuk inisiatif, Ia bagi memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya dalam kalangan keluarga B40," kata Ismail Sabri.

Beliau berucap demikian semasa merasmikan Karnival KPT Keluarga Malaysia di Batu Pahat, Johor.

Tambahnya, kerajaan membantu memastikan pelajar mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian, menerusi pelbagai program peningkatan kerjaya Kementerian Pengajian Tinggi, antaranya PENJANA KPT-CAP, PENJANA KPT-PACE, dan GetHired@KPT.

KPT bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia melalui PERKESO melaksanakan program MYFutureJobs, yang menawarkan 63,990 jawatan kosong di Johor melalui portal MYFutureJobs.

Inisiatif-inisiatif ini diharap akan membantu mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia kepada paras bawah 4.2%.

Media Baharu