fb fb fb fb fb

Padah letak syarat beli minyak masak, peniaga kedai runcit berdepan tindakan tegas - KPDNHEP

KULIM, 18 Februari - "Perlu membeli barangan keperluan lain terlebih dahulu sebelum dibenarkan membeli minyak masak paket 1 kilogram," kata pemilik sebuah kedai runcit kepada pelanggannya.

Namun tindakan tersebut mengundang padah apabila premis di Taman Kenari itu diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kulim, pagi tadi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah (KPDNHEP) Cawangan Kulim, Mohd Fazly Edros berkata penyamaran telah dilakukan oleh salah seorang anggota bagi mengetahui adakah terdapat syarat dikenakan kepada pengguna yang ingin membeli minyak masak paket tersebut.

"Menerusi penyamaran itu, pemilik premis telah mengenakan syarat supaya pengguna perlu membeli barang keperluan lain seperti gula,tepung gandum atau sardin terlebih dahulu sebelum minyak masak paket 1 kilogram yang ada dalam simpanannya boleh dijual kepada pelanggan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 70 kilogram minyak masak paket 1 kilogram disimpan dalam kedai runcit tersebut," katanya.

Tambahnya, pemilik premis mengaku mengenakan syarat tersebut kerana mendakwa terlalu ramai pelanggan ingin membeli minyak masak paket dengan kuantiti yang banyak.

Kes disiasat di bawah Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana mengenakan syarat tidak sah dalam penjualan barangan kawalan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut sama ada pemilik akan dikenakan kompaun atau didakwa di mahkamah.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi 1 juta ringgit bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.Manakala syarikat boleh didenda tidak melebihi 2 juta ringgit," katanya.

Media Baharu