PERMATANG PAUH, 26 April- Karnival Kita MADANI Peringkat Negeri Pulau Pinang 2025 yang berlangsung di Dewan Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah telah mencatatkan sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 3,000 pengunjung.
Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Pulau Pinang, Hasmiza Hussein, berkata karnival berkenaan bertujuan untuk memastikan maklumat dan dasar kerajaan dapat disampaikan terus kepada rakyat, sekaligus memberi ruang kepada orang ramai untuk lebih memahami inisiatif kerajaan.
“Kita MADANI adalah berkonsepkan ‘Pemimpin Bersama Rakyat’. Tujuannya adalah untuk mengeratkan hubungan dan membawa aspirasi serta inisiatif kerajaan ke satu tempat, supaya rakyat dapat menerima maklumat terkini yang betul dan sahih. Itu hasrat kita, untuk kumpulkan agensi-agensi di satu tempat bagi memudahkan penduduk setempat,” ujar Hasmiza.
Karnival tersebut menyediakan 47 reruai yang melibatkan agensi kerajaan dan swasta, memberikan peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan maklumat mengenai pelbagai program serta perkhidmatan yang disediakan.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid, turut hadir dan mengulas mengenai kejayaan program ini yang telah dilaksanakan sejak tahun lalu di pelbagai peringkat negeri, parlimen dan DUN.
“Program seperti ini telah dilaksanakan di pelbagai kawasan untuk menyantuni rakyat, menerangkan dasar dan polisi, serta pelaksanaan oleh agensi kerajaan persekutuan, negeri, dan swasta,” jelas Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid.
Selain pameran maklumat, karnival turut menawarkan pelbagai aktiviti hiburan dan informatif yang turut disertai pengunjung. Aktiviti seperti larian fun, pertandingan mewarna, serta pameran agensi kerajaan dan swasta menjadikan karnival ini sebagai platform terbaik untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Akram Amirudin, seorang pengunjung, berkongsi pengalamannya, “Hari ini saya sertai 'fun run', anak-anak ada aktiviti mewarna. Mereka juga dapat banyak manfaat dari booth yang ada di sini. Saya sangat gembira dapat bawa keluarga ke sini.”
Seorang lagi pengunjung, Nor Ashkin Abu Bakar, berkata, “Saya bawa anak saya mewarna. Banyak aktiviti, seronok, dan mereka dapat banyak pengalaman. Memang saya selalu bawa anak-anak ke acara seperti ini.”
Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan, antaranya aktiviti sukaneka, pameran agensi kerajaan dan swasta, pertandingan mewarna, serta Jualan Murah Mega MADANI yang memberi manfaat kepada pengunjung.