CHERAS, 25 Januari- Pemeriksaan kesihatan percuma diberikan kepada penduduk Parlimen Bandar Tun Razak dalam Karnival Kesihatan MADANI sempena sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Tahun 2025.
Karnival itu bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya penduduk di Bandar Tun Razak mengenai kepentingan menjaga kesihatan.
Kaunter-kaunter kesihatan dibuka untuk pemeriksaan kesihatan penyakit tidak berjangkit (NCD), jantung, kanser serviks serta mammogram, kaunter menderma darah, pemeriksaan gigi dan rehabilitasi.
Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Ahli Parlimen Bandar Tun Razak hadir merasmikan karnival tersebut dan turut menyerahkan sumbangan Bakul Ihsan MADANI kepada 700 penerima golongan kurang berkemampuan sekitar kawasan parlimen itu.
"Ini salah satu daripada caranya untuk sedarkan mereka. Kita tidak mahu mereka tunggu sampai sakit, baru datang. Oleh kerana itu, kita adakan saringan, saring dahulu, dapatkan maklumat awal dan gaya hidup sihat, itu yang penting", katanya selepas merasmikan Karnival Kesihatan MADANI di Institut Latihan Dewan Bandaraya (IDB) Bandar Tun Razak , Cheras, Kuala Lumpur.
Karnival itu dianjurkan oleh Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dan Yayasan MyPrihatin dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN), Pusat Darah Negara, Bahagian Kesihatan Pergigian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya dan Hospital Rehabiliti Cheras.