fb fb fb fb fb

Karnival Kerjaya & Keusahawanan Wanita Bangkit tawar peluang kerjaya dan keusahawanan - KPWKM

Foto FB Menteri

KUALA LUMPUR, 25 Ogos- Lebih 15,000 peluang pekerjaan dan keusahawanan bakal di tawarkan melalui Program Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada 27 Ogos ini.

Program yang memasuki penganjuran kali ketiga itu akan diadakan di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tasik Selatan, Sepang bermula dari pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun memberitahu lebih 40,000 orang telah mendapat peluang pekerjaan sejak kali pertama ia mula dianjurkan pada Mac lalu.

"30 majikan yang akan bersama dalam program ini antaranya daripada sektor pembuatan, perkilangan serta makanan dan minuman (F&B). Selain itu, ada juga penglibatan agensi kerajaan iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan pelbagai lagi. Jadi, tujuan utamanya adalah ingin membantu mereka yang mendapatkan peluang pekerjaan dan juga kita nak mudahkan urusan mereka membuat pendaftaran SSM secara percuma.

Untuk karnival kali ini, kita jemput Selebriti Keusahawanan, Datuk Rosyam Nor kemudian Usahanita, Datin Azliana dimana mereka ini akan berkongsi pandangan sekali gus bersama-sama untuk membantu mereka yang hadir ke karnival berkenaan," kata Rina dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, hari ini.

Beliau turut menjelaskan agenda pemerkasaan ekonomi golongan wanita menjadi fokus utama penganjuran program itu terutama dalam fasa peralihan ke endemik ini.

Program itu juga akan diteruskan ke Zon Sabah pada bulan September dan seterusnya ke Terengganu, Oktober ini.


(Menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Harun berkata demikian dalam rancangan
Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri)

Media Baharu