(FOTO HIASAN/BERNAMA)
KEPALA BATAS, 11 Julai- Orang ramai, khususnya golongan B40, M40, golongan muda serta pembeli rumah pertama kini mempunyai peluang baik untuk memiliki kediaman menerusi Karnival Jom Beli Rumah 2022.
Karnival Jom Beli Rumah 2022 yang dijadualkan berlangsung di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur selama tiga hari bermula 15 Julai ini akan menawarkan 10,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata karnival itu dijangka memenuhi keperluan golongan yang tidak memiliki rumah dengan menampilkan hartanah mampu milik kepada mereka.
"Karnival anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu disertai lebih 40 pempamer, yang menggabungkan semua pihak daripada kerajaan termasuk pelbagai agensi dan pemaju swasta, berlangsung selama tiga hari bagi memberi peluang kepada orang ramai mencari hartanah.
"Kami turut menawarkan sebanyak 10,000 unit rumah mampu milik di seluruh Malaysia dengan harga RM300,000 ke bawah bagi memberi peluang kepada golongan itu memiliki rumah sendiri," katanya kepada pemberita selepas Program Korban Parlimen Kepala Batas di Surau Taman Penaga Permai di sini.
Ahli Parlimen Kepala Batas itu berkata karnival tersebut akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 15 Julai.
(Reezal bercakap kepada pemberita selepas Program Korban Parlimen Kepala Batas di Surau Taman Penaga Permai)
Katanya, ia turut membawa bersama pembiaya bagi membantu urusan pembelian rumah terutama dalam kalangan anak muda yang berdepan beberapa kekangan.
Beliau berkata pihaknya juga membawa beberapa inisiatif kepada orang ramai terutama golongan muda dalam usaha membantu mereka membeli rumah pertama.
"Kita hendak memberi galakan kepada orang muda membeli rumah sebab itu kami bawakan pembiaya untuk melihat inisiatif yang ditawarkan kepada mereka malah karnival ini juga lebih kepada golongan tersebut dengan pelbagai agenda dan jendela untuk mereka.
"Jom Beli Rumah memberi penekanan mambantu mereka yang berdepan kekangan terutama membabitkan bayaran muka atau pendahuluan dan golongan yang tidak mempunyai slip gaji," katanya.
Selain itu, beliau berkata karnival berkenaan juga akan diperluas ke seluruh negara.
"Ia untuk memberi peluang kepada orang ramai melihat prospek hartanah terutama rumah seterusnya membeli kediaman pilihan mereka," katanya.