GEORGE TOWN, 14 Oktober – Pelbagai buah-buahan eksotik tempatan dengan cita rasa tersendiri bakal menjadi tumpuan pada segmen Karnival Industri Asas Tani yang akan berlangsung di Padang Kota Lama, pada 18 hingga 20 Oktober ini.
Menghidupkan suasana cuti sekolah di George Town, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pulau Pinang akan menyajikan pelbagai makanan popular dari seluruh negara termasuk Nasi Kerabu dan Laksa Sarawak, selain hidangan berprestij lain yang digemari orang ramai.
Selain makanan, pengunjung juga berpeluang menikmati buah-buahan tempatan yang unik seperti longan kristal dari Sabah, bersama lebih 80 tapak jualan makanan istimewa yang disediakan.
Pengarah FAMA Pulau Pinang, Mohd Hafiz Nurulhuda, berkata FAMA akan mengetengahkan pelbagai hasil pertanian dan buah-buahan tempatan dari seluruh negara bagi menarik lebih ramai pengunjung.
“Kita akan bawa buah-buahan tempatan termasuk dari Sabah dan negeri lain seperti durian, bagi memberi peluang kepada orang Pulau Pinang menikmati hasil segar dari pelbagai kawasan,” katanya ketika ditemu bual RTM di Konti MUTIARAfm
Pelbagai pengisian menarik termasuk program khas untuk golongan belia pada karnival yang akan berlangsung selama tiga hari itu.
Antara aktiviti lain yang turut diadakan ialah persembahan pentas artis tempatan, selain acara berasaskan belia seperti e-sukan, kelas barista dan pertandingan latte art.
Seramai 15,000 pengunjung dijangka membanjiri lokasi berkenaan sepanjang penganjuran.