fb fb fb fb fb

Jemput Trump ke Sidang ASEAN langkah strategik - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ibrahim/RTM

KUALA LUMPUR, 14 Oktober- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan beliau menjemput Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN yang bakal berlangsung hujung bulan ini meskipun menerima kritikan pelbagai pihak.

Berucap pada Persidangan Kuala Lumpur mengenai Tertib Antarabangsa Baharu yang Adil dan Berperikemanusiaan 2025, Perdaa Menteri menegaskan bahawa hubungan baik dengan Amerika Syarikat tidak bererti ASEAN tunduk kepada kuasa Barat, sebaliknya merupakan langkah diplomatik strategik demi keamanan dan kestabilan serantau.

“Diplomasi bukanlah suatu cara untuk meredakan kemarahan atau menunjukkan keangkuhan di pentas dunia, seolah-olah kita bebas daripada sebarang kompromi.

"Ia adalah usaha praktikal untuk melindungi kepentingan kita dan memajukan keamanan dalam dunia yang tidak sempurna,” tegasnya.

Beliau turut menjawab kritikan mengenai jemputan kepada Trump yang dikaitkan dengan dasar luar Amerika yang memihak Israel.

"Kita akan terus berhubung, tetapi pendirian kita tetap tegas dan jelas seperti yang telah dinyatakan," ujarnya.

Menurut Anwar lagi, diplomasi sejati menuntut ketabahan dan kebijaksanaan untuk berdepan perubahan.

“Diplomasi sebenar bukan tarian demi keselesaan, tetapi satu pertarungan daya tahan. Ia menuntut keseimbangan, disiplin dan keberanian untuk kekal di landasan walaupun keadaan berubah,” katanya lagi.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD