fb fb fb fb fb

ASEAN capai persetujuan awal MoU Grid Kuasa dan APAEC 2026-2030

Datuk Mad Zaidi Mohd Karli, Ketua Setiausaha, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA)

KUALA LUMPUR, 14 Oktober -Mesyuarat Persediaan Peringkat Pegawai-Pegawai Kanan Tenaga ASEAN (SOME) mencapai persetujuan awal terhadap dua agenda utama kerjasama tenaga serantau.

Kedua-duanya akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-43, 16 Oktober ini.

Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Setiausaha, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Mad Zaidi Mohd Karli selepas beliau mempengerusikan mesyuarat tersebut di sini, hari ini

Menurut beliau, persetujuan itu melibatkan pemeteraian Memorandum Persefahaman Dipertingkat Grid Kuasa ASEAN (APG Enhanced MoU) dan Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN 2026-2030 (APAEC).

“Kita telah membincangkan banyak isu, antaranya pemeteraian APG Enhanced MoU, setiap negara telah nyatakan persetujuan dan kita akan setuju di peringkat menteri.

Kedua, berkaitan APAEC 2026-2030. Kita telah setuju dan kita akan bawa ke mesyuarat di peringkat menteri,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, PETRA menerusi kenyataan memaklumkan, mesyuarat SOME menghimpunkan pegawai kanan tenaga dari semua negara ASEAN serta Timor-Leste.

Ia bertujuan memuktamadkan cadangan hala tuju dan dasar untuk pertimbangan di AMEM ke-43.

Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan keselamatan tenaga, kemampanan serta integrasi tenaga serantau di bawah APAEC.

Antara sasaran baharu dipersetujui ialah pengurangan intensiti tenaga sebanyak 40 peratus.

Selain itu, 30 peratus tenaga boleh baharu (TBB) dalam Sumber Tenaga Primer (TPES), serta 45 peratus kapasiti penjanaan TBB dalam kapasiti terpasang menjelang 2030.

Mesyuarat turut meluluskan Pelan Hala Tuju Jangka Panjang Tenaga Boleh Baharu ASEAN.

Ia juga menyokong Inisiatif Pembiayaan Grid Kuasa ASEAN yang diterajui Bank Pembangunan Asia dan Bank Dunia bagi projek sambungan kuasa rentas sempadan.

SOME turut bersetuju membentangkan syor utama kepada AMEM ke-43.

Ini termasuk memperaku APAEC 2026-2030, Keberhasilan Ekonomi Utama 2025 serta mengukuhkan kerjasama dengan rakan dialog antarabangsa seperti International Energy Agency (IEA), International Renewable Energy Agency (IRENA), Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Dunia (WB).

FARIS IZZAT SHAHARUDIN