KUALA LUMPUR, 14 Oktober -Aspek keselamatan akan diperkukuh di semua pintu masuk negara, seiring sasaran kedatangan 47 juta pelancong antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, agensi-agensi khas yang ditempatkan di pintu masuk negara berperanan mempercepat proses semakan, selain memastikan kawalan keselamatan lebih berkesan dan lancar.
“Kita ada agensi khas untuk mempercepat, mempermudah dan pastikan lebih efisien. Contohnya, kita ada kod QR untuk rakyat Malaysia dan kita akan laksanakan secara berperingkat untuk warga asing.
Tetapi negara luar pun harus dipantau dari sudut keselamatan. Sebab itu baru-baru ini ada kes pelancong diminta keluar atau tidak dibenarkan masuk. Jika rekod mereka ada jenayah atau rencana lain, termasuk bekerja secara haram, mereka diusir,” katanya.
Perdana Menteri menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali mengenai langkah kerajaan di pintu masuk negara bagi menyokong sasaran pelancong TMM2026.
Datuk Seri Anwar berkata, Malaysia diyakini dapat menarik lebih ramai pelancong bukan sahaja dari rantau ASEAN, tetapi juga dari Amerika Syarikat, Amerika Latin, Afrika dan Eropah.