fb fb fb fb fb

Kualiti pendidikan, faktor Malaysia jadi pilihan pelajar antarabangsa

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (kiri) meluangkan masa beramah mesra bersama pelajar antarabangsa pada Majlis Perasmian Penutup Meet and Greet with International Students (MAGNET) di Banda Hilir, hari ini. / BERNAMA

BANDA HILIR, 14 Oktober - Kualiti pendidikan tinggi yang ditawarkan Malaysia menjadi antara faktor pelajar antarabangsa memilih Malaysia untuk menyambung pengajian.
 
Ketegangan geopolitik dunia juga menjadi antara faktor penarik pelajar antarabangsa ke negara-negara Asia.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, setakat ini lebih 150,000 pelajar antarabangsa berada di lebih 400 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara.
 
Setiap pelajar antarabangsa yang dipilih menerima pendidikan di negara ini ditapis mengikut piawaian dan kriteria yang ditetapkan.
 
"Mereka memilih beberapa negara yang mempunyai nilai kualiti pendidikan yang tinggi maka Malaysia adalah salah satu negara itu yang dipilih.

"Atas sebab itulah kita dapat melihat bagaimana saban tahun akan ada pertambahan permohonan untuk mereka belajar dan ini tidak bermakna bahawa kita mengorbankan kualiti pendidikan," katanya.

Tambah Datuk Seri Dr Zambry, Kementerian Pendidikan Tinggi menyasarkan seramai 250,000 pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian di negara ini menjelang 2030.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Meet And Greet Bersama Pelajar Antarabangsa di sini, hari ini.
 
Program tersebut disertai lebih 1,000 pelajar antarabangsa dari 20 Universiti Awam dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
 

MOHAMAD KHAIRIE KHALID