fb fb fb fb fb

Tiga lagi PBT Terengganu sertai inisiatif Bandar Pintar

Tujuh PBT di Terengganu kini terlibat secara langsung dalam pelaksanaan inisiatif Bandar Pintar./BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 14 Oktober – Tiga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Terengganu, iaitu Setiu, Hulu Terengganu dan Besut, telah mengemukakan permohonan bawah inisiatif Pelan Tindakan Strategik Bandar Pintar.

Langkah itu menjadikan keseluruhan tujuh PBT di negeri ini kini terlibat secara langsung dalam pelaksanaan inisiatif berkenaan, yang bertujuan mempercepatkan transformasi digital serta pembangunan bandar pintar.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata dua PBT di negeri itu sebelum ini telah menerima penarafan sebagai perintis bandar pintar (Smart City Early Adopter) oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), manakala dua lagi sedang dalam proses mendapatkan penarafan sama.

Beliau berkata, terdapat kelebihan bagi PBT yang diluluskan sebagai perintis bandar pintar kerana mereka bakal menerima geran tambahan berbanding sebelum ini.

“Sebelum ini, mana-mana PBT yang menerima pengiktirafan bandar pintar memperoleh peruntukan sebanyak RM200,000. Namun tahun ini, jumlah itu bakal meningkat kepada RM400,000 dan berkemungkinan ditambah kepada RM600,000 tahun depan,” katanya.

Terdahulu, Datuk Wan Sukairi hadir merasmikan Program Hari Pengaktifan Bandar Pintar (Smart City Activation Day) Edisi ke-2 2025 di Kuala Terengganu yang disertai lebih 600 peserta.

Program sehari itu memberi ruang kepada peserta untuk berkongsi pandangan serta pengalaman dalam adaptasi teknologi pintar dan pelaksanaan projek bandar pintar di kawasan masing-masing.

Konsep bandar pintar merupakan pendekatan baharu dalam pengurusan dan pembangunan bandar bagi menjadikannya lebih mampan, berdaya huni serta praktikal melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi terkini.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI