IPOH, 13 Disember- Laporan sebuah portal mengenai pesakit kritikal yang tidak menerima rawatan sepatutnya di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, akan diambil tindakan sewajarnya.
Pengarah hospital, Dr. Megat Iskandar Megat Abdul Hamid berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan siasatan terperinci sedang dijalankan.
Jelas beliau, Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital-hospital negeri sentiasa menerima dan merawat pesakit kecemasan dalam jumlah yang ramai merangkumi pelbagai kes.
"Meskipun begitu, jabatan sentiasa berusaha sedaya upaya memberi rawatan berkualiti dan terbaik kepada pesakit.
"Dalam usaha menyegerakan kemasukan pesakit ke wad, Unit Pengurusan Katil (BMU) yang beroperasi selama 24 jam sehari telah diwujudkan," kata Megat Iskandar kepada media di sini.
Kewujudan BMU membantu melancarkan proses discaj pesakit dari semua wad HRPB dan kemasukan pesakit ke wad dari Jabatan Kecemasan dan Trauma.
Pesakit kritikal yang telah stabil dan masih memerlukan rawatan lanjutan pula dihantar ke hospital-hospital kluster bagi mengurangkan kesesakan.
Bagaimanapun, pihaknya akan meneliti dan berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi meningkatkan lagi kapasiti merawat pesakit kritikal.
(Kapasiti rawat pesakit kritikal di HRPB akan ditingkatkan/BERNAMA)