fb fb fb fb fb

Kapal kargo karam: Enam kru selamat, seorang masih hilang

Kapal kargo dinaiki tujuh kru warga Indonesia yang terbalik di perairan Sarawak/Maritim Malaysia

LABUAN, 28 Januari- Enam kru kapal terselamat manakala seorang lagi dikhuatiri hilang dalam kejadian kapal kargo karam di perairan Sarawak kira-kira 1.8 batu nautika dari Tanjung Perapat, Lawas, malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan, Kepten Izwanhadi Idros, memaklumkan kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 10.15 malam dan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) diaktifkan oleh Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Kuching pada 10.45 malam.

"KM Bestari menemui kapal tersebut dalam keadaan terbalik. Enam awak-awak (kru kapal) berjaya menyelamatkan diri menggunakan rakit penyelamat sebelum ditemui bot nelayan dan diselamatkan KM Bestari untuk dibawa ke Labuan,” katanya.

Kesemua mangsa merupakan warga Indonesia berusia antara 30 hingga 45 tahun.

Izwanhadi berkata dua mangsa mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Labuan bagi mendapatkan rawatan.

Operasi mencari seorang lagi mangsa yang masih hilang diteruskan dengan bantuan pasukan penyelam dari pada MRSC Kuching dan Sabah serta sokongan sahabat marin dan agensi penyelamat lain di lokasi kejadian.

Punca kejadian masih dalam siasatan.

2801 LABUAN   KAPAL KARGO KARAM
Enam kru kapal kargo warga Indonesia yang diselamatkan Maritim Malaysia di perairan negara/Maritim Malaysia

SITI AISHAH MD ISA