fb fb fb fb fb

Kane intai peluang jadi penjaring gol terhebat England

(Legenda Tottenham Hotspur itu hanya kurang tujuh gol untuk menyamai rekod kelab
milik Jimmy Greaves (266 gol)

LONDON, 3 November- Sejarah menanti Harry Kane di Qatar dengan kapten England itu hanya tinggal dua gol untuk menyamai rekod jaringan terbanyak Wayne Rooney 53 gol untuk skuad Three Lions.

Kane yang bakal menginjak usia 30 tahun bagaimanapun perlu menjulang Piala Dunia di Stadium Lusail pada 18 Disember, jika tidak mahu terus kemarau trofi utama.

Legenda Tottenham Hotspur itu hanya kurang tujuh gol untuk menyamai rekod kelab milik Jimmy Greaves (266 gol).

Setakat ini dia sekadar hampir memenangi kejohanan terbesar di peringkat kelab dan negara.

Kane menjaringkan gol dalam penentuan sepakan penalti ketika England tewas di hadapan penonton sendiri dalam perlawanan akhir Euro 2020 menentang Itali 16 bulan lalu.

Dia juga berada di pihak yang tewas apabila Tottenham mara ke perlawanan akhir Liga Juara Eropah buat kali pertama dalam sejarah pada 2019, namun tewas 0-2 kepada Liverpool di Madrid.

Berkongsi rekod penjaring terbanyak England dalam kejohanan utama dengan Gary Lineker (10 gol), Kane juga memenangi Kasut Emas Piala Dunia dan tiga Kasut Emas Liga Perdana Inggeris.

"Saya sudah hampir, saya cuba untuk tidak terlalu memikirkannya tetapi dengan Piala Dunia yang akan datang ia akan menjadi tempat yang menakjubkan untuk pergi dan mencapainya," kata Kane mengenai prospek menjadi penjaring terbanyak England di Qatar.

"Saya pasti apabila ia berlaku, saya akan bersedia untuk melakukannya dan jika saya dapat merealisasikannya pada musim sejuk ini ia akan menjadi sangat menggembirakan," tambahnya. -AFP

(Harry Kane meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol ketiga pasukan itu daripada
sepakan penalti semasa perlawanan bola sepak kumpulan A3 UEFA Nations League
antara England dan Jerman/AFP)

Media Baharu