fb fb fb fb fb

Kanak-kanak mati didera: Hentakan objek keras, tumpul di kepala punca kematian

JOHOR BAHRU, 29 Disember- Punca kematian kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera di Batu Pahat, Johor adalah disebabkan hentakan objek keras dan tumpul di bahagian kepala.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ia berdasarkan hasil laporan bedah siasat yang dikeluarkan doktor pakar di Hospital Sultan Ismail, di sini.

Sehingga semalam, 10 individu termasuk lima suspek antaranya kakak mangsa, 19 tahun dan suaminya, yang berusia 37 tahun dipanggil untuk memberi keterangan.

"Hasil bedah siasat dibuat secara teliti mendapati punca kematian adalah disebabkan hentakan benda keras.

Juga terdapat kesan calar serta gigitan, siasatan akan kami teruskan," katanya.

Datuk Kamarul berkata demikian selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor KOR Sukarelawan Polis Siswa/Siswi, SUKSIS UTM dan UTHM tahun 2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini.

(Datuk Kamarul Zaman Mamat, Ketua Polis Johor)

Tempoh reman lima suspek yang berakhir 31 Disember ini akan disambung bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Media Baharu