fb fb fb fb fb

Kanak-kanak lelaki dua tahun maut, lima cedera dalam kebakaran

KUANTAN, 28 April - Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia, manakala lima lagi cedera dalam kebakaran melibatkan dua rumah jenis Semi-D setingkat di Jalan Permatang Badak Perdana 2 di sini awal pagi tadi.

Dalam insiden kira-kira pukul 3 pagi itu, mengakibatkan mangsa yang cedera adalah dua lelaki, dua wanita serta seorang bayi berusia lapan bulan

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 3.15 pagi tadi dan bergegas ke lokasi kejadian.

"Seorang kanak kanak lelaki dipercayai umur dalam lingkungan dua tahun telah dijumpai di dalam kawasan kebakaran iaitu di ruang tamu.

"Turut terjejas dalam kebakaran itu ialah tiga kenderaan dengan satu daripadanya hangus sepenuhnya dan dua buah kenderaan lagi mengalami kerosakan teruk.

"Kebakaran menyebabkan berlaku satu letupan yang sangat kuat sehingga struktur rumah di kedua-dua buah rumah ini rosak teruk dan menyebabkan dinding dan bumbung rumah runtuh.

"Berdasarkan kepada laporan saksi semasa kebakaran berlaku letupan yang sangat kuat yang boleh didengari sehingga 19 kilometer," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, kebakaran melibatkan rumah jenis Semi-D dengan sebuah daripadanya terbakar 100 peratus manakala sebuah lagi musnah 90 peratus.

Dua jentera bomba dan sebuah lori tangki air bersama-sama kekuatan 18 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Kuantan serta Indera Mahkota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.

Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, katanya.

(Rumah Semi-D yang musnah 90 peratus terbakar dalam kejadian pada pagi tadi/FOTO syot layar BOMBA Pahang)

Dalam pada itu, penduduk berhampiran ketika ditemui turut menceritakan detik cemas serta memilukan itu.

Fadzlullah Sulaiman, 69, berkata sewaktu kejadian, bunyi letupan sangat kuat dan paling kuat didengari iaitu sebanyak tiga kali bunyi letupan.

"Bila saya tengok keadaan di luar, api sudah marak," katanya ketika ditemui RTM.

Sementara Robiah zakaria, 43, berkata, pada mulanya beliau beranggapan bunyi tersebut bunyi ribut dan petir.

"Tapi bila bunyi buat kali kedua sehingga menyebabkan tingkap bilik saya pecah dan kaca jatuh ke atas anak yang berusia dua tahun yang menjerit serta menangis dalam ketakutan.

"Saya terus dukung dan bawa anak saya lari," katanya.

Terdahulu, tular rakaman video melalui aplikasi WhatsApp mengenai kejadian berkenaan awal pagi tadi yang didakwa berpunca daripada stok simpanan mercun yang terdapat di salah sebuah kediaman itu.

Media Baharu