KUCHING, 24 Ogos -Seorang kanak-kanak lelaki autistik dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Jalan Kim Chu Sin Batu Kawa, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan Enrique Bong Kai Cen, kira-kira pukul 6.17 petang tadi.
"Enrique dilaporkan hilang kira-kira pukul 4.15 minit petang dan memakai kemeja-T putih tanpa kolar dan seluar pendek warna coklat serta berselipar," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, laporan dari Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menyatakan, usaha mencari oleh ahli keluarga menemukan sepasang kasut mangsa pada jarak kira-kira 10 hingga 30 meter dari kawasan rumah, berhampiran anak sungai Kampung Kim Chu Shin.
Susulan laporan kehilangan itu, JBPM menggerakkan tujuh anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang ke lokasi.
Pasukan bomba menjalankan pencarian di kawasan hutan kebun dan anak sungai, manakala penduduk kampung turut memantau di jeti sungai besar Batu Kawa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hubungi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan, Sarjan Alex Daniel Jita di talian 011- 1881 6338 atau 082-862 233 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.