LABUAN, 24 Ogos – Bintang Patriotik Kemerdekaan 2025 di Labuan berlangsung meriah dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat melalui persembahan lagu-lagu patriotik baharu dan malar segar, selain kreativiti busana para peserta.
Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Labuan, Azman Sipan berkata, kejayaan program dapat dilihat melalui penglibatan golongan belia, sekali gus mencapai sasaran memupuk semangat cintakan negara serta mempererat rasa kebersamaan antara generasi.
“Pertandingan ini kita buat secara terbuka, dan daripada 28 penyertaan, ada penyertaan generasi muda. Harapan kita, melalui pertandingan sebegini, sambutan Bulan Kebangsaan dapat diraikan dengan lebih meriah,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Raya Kampung Belukut.
Seramai lapan peserta daripada 28 penyertaan pelbagai peringkat komuniti berentap di pusingan akhir untuk merebut gelaran juara.
Program tersebut melibatkan Komuniti Victoria, Kubong, Sri Kembangan, Al Fazah, Sri Labuan dan Kalam dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Belukut.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan, Mohd Hafiez Mohd Daud.