
SHAH ALAM, 3 April – Ketua Jabatan setiap agensi kerajaan perlu memantau kakitangan yang terlibat dengan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) agar mematuhi garis panduan sedia ada.
- Ketua Jabatan mesti pantau kakitangan BDR supaya mematuhi garis panduan dan mencapai KPI yang ditetapkan.
- BDR bukan alasan untuk tidak berfungsi; produktiviti dan disiplin mesti setara seperti bekerja di pejabat.
- Galakkan mesyuarat dalam talian untuk berjimat, elak sewa dewan dan hotel kecuali urusan diplomatik rasmi.
- Hadkan lawatan luar negara kepada urusan benar-benar penting dan tunjuk teladan dalam pelaksanaan penjimatan.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata mereka juga perlu dipastikan mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.
Tegas Tan Sri Shamsul, pelaksanaan BDR bukan tiket untuk tidak melaksanakan tanggungjawab, sebaliknya menuntut tahap produktiviti dan disiplin yang setara seperti bekerja di pejabat.
“Tapi jangan salah faham ya. BDR bukan bermaksud ‘Baring Duduk Rehat’. BDR bukan bermaksud Beli belah Di pasar Raya.”
“Ia mesti mengikut peraturan dan tatacara yang telah ditetapkan. Output dan produktiviti mestilah sama. Oleh itu, Ketua Jabatan kena memastikan bagi sesiapa yang ingin melaksanakan BDR mempunyai KPI dan Output yang telah ditetapkan.”
“Ini adalah sebahagian daripada agenda reformasi perkhidmatan awam di mana Output dan KPI mestilah dicapai.”
Beliau pada sama menyeru pelaksanaan budaya penjimatan secara menyeluruh dalam kalangan penjawat awam sebagai langkah berdepan tekanan ekonomi semasa.
Antara langkah yang digariskan termasuk digalakkan melaksanakan mesyuarat secara dalam talian.
Langkah itu bagi mengurangkan kos penyewaan dewan dan hotel, kecuali bagi urusan rasmi melibatkan tetamu asing bagi tujuan hubungan diplomatik.
Penjawat awam turut diminta meneliti semula keperluan lawatan ke luar negara dan mengehadkannya kepada urusan yang benar-benar penting.
“Oleh yang demikian, penjawat awam kena tunjuk teladan kepada rakyat bahawa kita bukan sekadar mengeluarkan dan melaksanakan arahan tetapi juga menjuarai pelaksanaannya demi negara.”
Beliau berucap pada Majlis Jelajah Taat Setia MADANI Peringkat Negeri Selangor di sini hari ini.