fb fb fb fb fb

Kajian semula projek pembangunan di Cameron Highlands - Yang di-Pertuan Agong

CAMERON HIGHLANDS, 6 Januari - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kerisauan terhadap projek pembangunan di Cameron Highlands yang kini dilihat semakin berleluasa.

Titah baginda perkara tersebut perlu diberikan perhatian serius bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini sepertimana yang berlaku di Batang Kali, Selangor bulan lalu.

Pada masa sama baginda turut mengingatkan pihak berkaitan agar berhati-hati memberi kelulusan terhadap mana-mana projek yang ingin dilaksanakan di kawasan tanah tinggi itu.

"Buat sementara saya harap buat sementara kaji semula kalau perlu ditangguhkan semua kelulusan untuk kawasan di daerah Cameron Highlands buat sementara di kawasan tinggi ini hadkan, ini saranan saya ini titah saya 'enough is enough' saya kata kita tidak mahu lagi berlakunya kita mahu Cameron Highlands di Kampung Raja ini jadi kampung yang cantik bersih orang sini semua sihat," titah Al-Sultan Abdullah di sini.

Pada kunjungan tersebut, Baginda menzahirkan simpati kepada mangsa terlibat dan kesyukuran kerana tiada kehilangan nyawa dalam musibah banjir lumpur itu, dan berharap projek berhampiran kawasan penempatan berkenaan turut dikaji semula bagi mengelakkan kerosakan persekitaran dan ekosistem.

Al-Sultan Abdullah bertitah pihak berkaitan supaya tidak sewenang-wenangnya memberi kelulusan projek tanpa penelitian keadaan sebenar lokasi dan turun padang, supaya kelulusan diberi bagi sesuatu projek lebih dibuat dengan berhati-hati.

(Baginda bertitah selepas mendengar taklimat banjir dan tindakan pembetulan
Kampung Baru Kampung Raja yang disampaikan Pegawai Daerah Cameron Highlands,
Syed Ahmad Khairul Anwar Al Yahya Syed Abdul Rahman)

“Kena turun padang sendiri, jangan berdasarkan peta semata-mata sebab itu saya cadang Menteri Besar, Pegawai Daerah dan Tanah, tinjau melalui helikopter dan gunakan segala teknologi ada, sekarang ada dron.

“Guna kaedah-kaedah moden ini untuk tinjauan dan jangan harap kaedah lama semata-mata,” titah baginda.

Baginda turut berharap kejadian tanah runtuh yang mengorbankan mangsa di Batang Kali, Selangor tidak berulang di mana-mana, khususnya di Cameron Highlands dan Pahang.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan sumbangan peribadi kepada seramai 21 keluarga mangsa banjir lumpur berkenaan, sebelum berangkat pulang pada 5 petang.

Disember lepas, beberapa rumah dan jalan sekitar Kampung Raja dipenuhi lumpur ekoran kejadian banjir kilat yang berlaku di kawasan itu.

Media Baharu