fb fb fb fb fb

Kajian persempadanan semula selepas tamat lat lapan tahun-SPR

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 1 Januari- Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menegaskan urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian-bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan tahun atau terdapat pindaan undang-undang ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata pihaknya bertanggungjawab mengkaji semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan dan Negeri-Negeri berlandaskan prinsip dan tatacara yang ditetapkan bawah Jadual Ketiga Belas, Bahagian I dan II, Perlembagaan Persekutuan.

"Prinsip-prinsip berhubung dengan persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya adalah seperti pertama, kewajaran memudahkan diadakan bagi semua pemilih diberi peluang keluar mengundi semasa pilihan raya dan bahagian-bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan negeri; kedua mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihan raya itu untuk mengadakan jentera yang perlu bagi pendaftaran dan pengundian."

"Yang ketiga bilangan pemilih yang lebih kurang sama banyak bagi setiap bahagian pilihan raya dalam sesebuah Negeri kecuali apabila terdapat kesukaran perhubungan dan kesukaran lain yang dihadapi bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, luas bahagian pilihan raya patut diberi pertimbangan; dan keempat perhatian kepada pemeliharaan hubungan tempatan," katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut Abdul Ghani, syor kajian semula persempadanan hanya akan dimulakan apabila terdapat pemberitahuan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri daripada SPR serta disiarkan suatu notis sebagaimana yang diperuntukkan bawah Bahagian II, Seksyen 4, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.

" SPR tidak merancang untuk melaksanakan urusan kajian semula persempadanan bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Negeri Sabah berikutan lat tempoh yang masih berkuatkuasa.Manakala bagi Negeri Sarawak pula, SPR sedang mempertimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan urusan tersebut," katanya.

Tambah beliau , SPR akan terus melaksanakan tanggungjawab yang diberikan demi kepentingan rakyat dan negara ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD